Panduan Lengkap Permohonan PTPTN

Panduan Lengkap Permohonan PTPTN 


Memasuki awal tahun 2017, majoriti dalam kalangan ibu bapa dan pelajar lepasan SPM, STPM, Diploma, Matrikulasi dan sebagainya memerlukan pelbagai info berkaitan pembiayaan pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Memandangkan tidak semua dalam kalangan kita dilahirkan dalam keluarga yang berada, maka pinjaman pendidikan adalah menjadi pilihan utama. Oleh itu, kami kongsikan Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu pelajar mengapai impian mereka.


Tahukah anda, Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bagi tujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuhnya atau sebahagian yuran pengajian selain kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Dengan pinjaman yang diperolehi, ianya dapat membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN yang disediakan oleh kerajaan ini terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja. Ianya selaras dengan Seksyen 2, Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) iaitu Institusi Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan di bawah:

  • Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971
  • Akta Institut Teknologi MARA 1976
  • Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996
  • Politeknik yang ditubuhkan dan diselenggarakan oleh Menteri di bawah Akta Pendidikan 1996
  • Mana-mana institusi pendidikan tinggi lain yang ditubuhkan atau disifatkan telah ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan yang ditentukan oleh Menteri sebagai suatu institusi pendidikan tinggi

Apabila berbicara mengenai PTPTN ini, pelbagai persoalan timbul sama ada dalam kalangan pelajar mahu pun ibu bapa. Oleh itu, kami kongsikan panduan permohonan pinjaman PTPTN berkonsepkan pertanyaan dan jawapan. Kebiasaanya, pertanyaan inilah yang kerap kali diajukan saban tahun. Dengan menggunakan konsep ini, ianya lebih mudah untuk anda memahaminya bukan?. Berikut merupakan soalan yang sering ditanya :


Apakah syarat permohonan Pinjaman Pendidikan PTPTN?

PTPTN menetapkan dua kategori syarat bagi membolehkan pelajar memohon pinjaman iaitu syarat umum bagi pemohon yang baru pertama kali memohon dan syarat permohonan kali kedua, bagi pelajar yang sebelum ini pernah mendapat bantuan pembiayaan pendidikan daripada PTPTN, misalnya graduan Diploma yang memerlukan pinjaman pembiayaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Bagi memastikan anda memenuhi syarat berkenaan, kliksyarat umum dan klik syarat permohonan PTPTN untuk kali kedua mengikut kategori permohonan anda.


Bilakah permohonan PTPTN akan dibuka?

Portal permohonan PTPTN sentiasa dibuka. Bagi anda yang ingin membuat pinjaman pendidikan ini, anda perlu membuat pendaftaran permohonan secara atas talian (online) selepas menerima tawaran kemasukan ke universiti. Kemudian, untuk menghantar permohonan kepada pihak PTPTN, anda perlu menyemak tarikh jadual permohonan pinjaman mengikut institusi masing-masing. Ini kerana, PTPTN akan mengadakan road show ke seluruh IPTA/IPTS masing-masing bagi memudahkan pelajar menghantar permohonan pinjaman mereka. Klik di sini untuk menyemak tarikh penghantaran permohonan bagi IPTA dan Politeknik manakala untuk IPTS klik di sini.


Langkah untuk memohon PTPTN?

Langkah ini perlu dibaca dan difahami dengan teliti. Ini kerana, sekiranya anda membuat kesalahan dalam mana-mana langkah ini, kemungkinan permohonan anda tidak diterima dan anda perlu membeli semula nombor pin untuk membuat permohonan yang baru. Tetapi suka diingatkan bahawa, untuk membuat permohonan yang baru anda perlu memaklumkan kepada pihak PTPTN terlebih dahulu untuk membatalkan permohonan yang lama. Selepas PTPTN membatalkan permohonan yang lama tersebut, barulah anda boleh membuat permohonan yang baru. Leceh bukan?. Oleh itu, pastikan anda betul-betul memahaminya dan tidak membuat sebarang kesilapan. Jika anda sukar untuk memahami, boleh ajukan pertanyaan kepada kami dan maklumkan langkah manakah yang anda kurang jelas. Kami akan sedaya upaya membantu anda. Oleh itu, kami kongsikan langkah-langkah permohonan PTPTN.

  • Langkah pertama, anda perlu membuka akaun SSPN-i di  mana-mana cawangan Maybank, Bank Rakyat, Bank Islam, Agrobank atau mana-mana cawangan PTPTN bagi mendapatkan nombor akaun SSPN-i. Bagi anda yang membuka akaun SSPN-i di Maybank dan Bank Rakyat, anda boleh membuat permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN pada hari yang sama manakala bagi pembukaan akaun SSPN-i yang dibuat di BIMB dan Agrobank, permohonan pembiayaan pendidikan hanya boleh dilakukan pada keesokan harinya.

  • Langkah kedua, anda perlu membeli nombor pin PTPTN di mana-mana kaunter cawangan BSN, ATM BSN yang berdekatan atau melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), berharga RM5.00. Nombor pin ini diperlukan untuk log masuk bagi membuat permohonan. Tempoh sah nombor pin adalah selama 6 bulan bermula dari tarikh pembelian. Kaedah pembelian boleh klik pada Laman Rasmi BSN atau hubungi talian 1300 88 1900 untuk sebarang bantuan berkaitan pembelian nombor pin.

  • Langkah ketiga, anda perlu melayari  laman web Sistem Pinjaman Pendidikan untuk membuat pendaftaran secara atas talian (online). Laman web berkenaan hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 2 dan ke atas. Anda diingatkan juga untuk menyemak terlebih dahulu syarat kelayakan masuk ke IPT yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di IPT masing-masing sebelum mengemukakan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN secara “online”. Ini bagi memastikan pelajar mematuhi syarat permohonan seperti mana yang telah ditetapkan oleh PTPTN. 

  • Langkah keempat, anda boleh membuat semakan permohonan pinjaman untuk mengetahui sama ada anda berjaya atau pun sebaliknya. Sekiranya berjaya, anda perlu membuka akaun simpanan bank mengikut panel bank yang telah ditetapkan oleh pihak PTPTN. Ini kerana pembiayaan pinjaman anda akan dikreditkan ke akaun bank tersebut. Klik di sini untuk menyemak panel bank bagi IPTA manakala IPTS, klik di sini.


Apakah panduan dan peraturan mengisi dokumen tawaran pinjaman pendidikan /pinjaman semula pendidikan selepas permohonan berjaya?

Peraturan dalam mengisi dokumen tawaran pinjaman merupakan perkara utama yang perlu dititik beratkan bagi memastikan permohonan anda tidak ditolak. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses oleh pihak PTPTN. Pegawai mereka agak cerewet dalam hal ini. Namun, kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana berpuluh ribu lagi pemohon yang tengah menunggu untuk menghantar permohonan. Sekiranya dokumen permohonan anda tidak lengkap, tentunya akan memberi kesan negatif kepada orang lain. Terdapat dua jenis pinjaman di bawah PTPTN iaitu Pinjaman Konvensional dan Pinjaman Ujrah, anda boleh memilih salah satu di antara kedua-duanya (klik di sini untuk mengetahui akan perbezaan kedua-dua jenis pinjaman ini). Bagi anda yang memilih Pinjaman Konvensional, klik di sini manakala bagi Pinjaman Ujrah klik di sini untuk melihat panduan lengkap dan peraturan mengisi dokumen tawaran berkenaan.

Adakah PTPTN menyediakan tawaran pinjaman pendahuluan kepada pelajar sebagai persediaan untuk mendaftar masuk ke universiti?.

PTPTN sedia maklum bahawa tidak semua golongan pelajar yang berkemampuan dari segi kewangan ketika mula mendaftarkan diri ke universiti. Pelajar memerlukan wang untuk membiayai kos sara hidup, barangan kelengkapan diri dan sebagainya sebelum pinjaman dikreditkan ke akaun pelajar. Maka, Wang Pendahuluan Pinjaman berjumlah RM1,500.00 akan diberikan kepada pelajar dalam tempoh dua minggu sebelum pendaftaran pelajar ke universiti. Walau bagaimanapun, pelajar perlu memenuhi syarat-syarat berikut sebelum layak untuk menerima WPP ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    • Pelajar telah membuat persetujuan menerima WPP;
    • Pelajar adalah Warganegara Malaysia;
    • Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M);
    • Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di IPTA dan Politeknik sahaja;
    • Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.

Bagi kaedah pengagihan dan pemberian WPP ini adalah seperti berikut:

    • Pengeluaran WPP diuruskan dengan menggunakan konsep waran dan tarikh sah laku waran adalah dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh dikeluarkan.
    • Waran WPP diagihkan kepada pelajar-pelajar yang sudah berjaya mendapat tempat di IPTA dan Politeknik melalui dua kaedah iaitu serahan tangan atau pengeposan ke alamat pelajar dalam tempoh dua (2) minggu sebelum pelajar mendaftarkan diri ke IPTA dan Politeknik.
    • Pelajar perlu hadir ke cawangan bank yang dilantik (CIMB Bank) dengan membawa MyKad untuk menunaikan waran tersebut.
    • Wakil adalah tidak dibenarkan untuk menunaikan waran.
    • Waran hanya boleh ditunaikan melalui KAUNTER BANK SAHAJA.

*Pembayaran semula WPP ini akan ditolak terus daripada pembiayaan pinjaman setiap 3 semester pertama yang akan dikreditkan ke akaun anda kelak. Setiap semester akan ditolak sebanyak RM 500.00.

Berapakah jumlah amaun pinjaman yang akan diperolehi oleh pelajar sepanjang tempoh pengajian?

Amaun pinjaman yang ditawarkan oleh pihak PTPTN adalah mengikut pendapatan isi rumah anda. Terdapat tiga peringkat pinjaman iaitu:

  • Pinjaman penuh 100%
    • Sekiranya anda atau penjaga anda disenaraikan sebagai penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
  • 75% daripada pinjaman penuh 100%
    • Sekiranya pendapatan keluarga anda  tidak melebihi RM8,000  dan tiada dalam data BR1M.
  • 50% daripada pinjaman penuh 100%
    • Pendapatan keluarga melebihi RM8,000 dan tiada dalam data BR1M.

Bagi anda yang ingin mengetahui jumlah sebenar pinjaman di dalam angka mengikut peringkat pengajian, klik di sini.


Bilakah bayaran pertama pinjaman PTPTN akan dikreditkan ke akaun pelajar?

Pembayaran pertama pinjaman PTPTN akan dibuat setelah anda memulangkan dokumen perjanjian yang lengkap kepada PTPTN pada semester pertama pengajian iaitu ketika road show PTPTN ke IPT anda. Klik di sini untuk mendapatkan jadual tentatif pembayaran pinjaman mengikut IPT masing-masing.

Bagi semester seterusnya, pembayaran pinjaman kepada pelajar akan dibuat berdasarkan syarat-syarat berikut:

    • Masih meneruskan pengajian pada peringkat, jurusan dan IPT yang diluluskan oleh KPM.
    • Lulus peperiksaan pada semester sebelumnya dengan keputusan Purata Nilai Gred (PNG) 2.0 ke atas
    • Tidak menerima penajaan dari pihak yang lain.

Untuk pengetahuan anda, setelah pinjaman anda dikreditkan ke akaun. Kebiasaanya bagi universiti awam, yuran pengajian sudah di potong oleh pihak IPTA anda manakala bagi IPTS pula, amaun pinjaman keseluruhan akan dikreditkan ke akaun dan anda bertanggungjawab untuk membuat pembayaran yuran pengajian di kaunter yang disediakan oleh Bendahari Universiti masing-masing. PTPTN tidak terlibat dalam urusan pemotongan yuran pengajian IPT. PTPTN akan mengkreditkan terus amaun pinjaman ke akaun pelajar mengikut semester tertakluk kepada pengesahan yang diberikan oleh IPT. Semakan bayaran pinjaman boleh dilakukan di Penyata Pinjaman dan penyata akaun bank peminjam masing-masing. Sebarang pertanyaan melibatkan pemotongan yuran pengajian, anda perlu merujuk kepada IPT masing-masing.

Apakah punca yang menyebabkan pinjaman diberhentikan?

Pinjaman  pendidikan akan diberhentikan atas sebab-sebab berikut:

  • Gagal/berhenti pengajian pada peringkat/ jurusan/ IPT yang diluluskan semasa memohon pinjaman pendidikan
  • Pelajar membuat pembatalan pinjaman pendidikan PTPTN
  • Menerima tajaan lain
  • Pemalsuan maklumat semasa permohonan
  • Penerima biaya diisytihar muflis

Bolehkah Pinjaman PTPTN ditukar status daripada pinjaman kepada biasiswa?

Ya, sudah tentu jika peminjam menamatkan pengajian dengan dianugerahkan “Kelas Pertama” dalam pengajian masing-masing. Penentuan Kelas Pertama adalah mengikut IPT masing-masing. Pelajar hanya perlu menyertakan transkrip akademik yang diperolehi yang mengesahkan bahawa mereka dianugerahkan  kelas pertama dalam pengajian kepada PTPTN.

Comments